Saturday, August 22, 2015

MAJALAH UJANG DALAM KENANGAN


MAJALAH UJANG DALAM KENANGAN
HARUM SUBUR DI HATI
08 ZULKAEDAH 1436H - 23 OGOS 2015


Siapa sangka, akhirnya majalah UJANG DAN APO? terbitan MOY Publication ditamatkan penerbitannya pada 06 Ogos 2015 yang lalu. Semua rakyat BolehLand dah tahu mengenai penamatan penerbitan majalah UJANG kerana populariti majalah UJANG yang sangat diminati oleh peminat humor tanahair pada pertengahan tahun 90an dulu hingga sekarang. Berita ini yang gua ketahui dari sorang sahabat kartunis dari majalah UJANG sangat memeranjatkan sekali. Gua terkedu, kelu seribu bahasa dan sangat sedih kerana gua bersama saudara Ujang , Aie dan Nik Wafdi adalah pelopor majalah UJANG dari keluaran pertama pada tahun 1994.

Ramai yang tanya,’ kenapa brader Gayour, Aie dan Nik tak guna nama buah, sayur atau ulam-ulaman seperti kartunis UJANG yang lain?”. Kami tak guna kerana kami adalah pelopor. Encik Ujang menyatakan yang dia akan menamakan kartunis-kartunis baru yang akan menyertai majalah UJANG selepas kami dengan nama-nama buah,sayur serta ulam itu sebagai trademark kartunis majalah UJANG. Sebut saja nama Sukun, Duku, Petai atau Bawang… semua peminat majalah UJANG dan majalah humor yang lain tahu, itu kartunis majalah UJANG.

Pada tahun 1991/92, masa gua bertugas di majalah Geli Hati ( terbitan Kumpulan Media Karangkraf ), kartunis Bawang pernah menghantar karya beliau ke Geli Hati dengan menggunakan nama KAYU. Kahkahkah! Gua gelakkan beliau masa beliau mempekenalkan diri sebagai kartunis KAYU melalui talifon. Pasti beliau kecik hati. Ahhh! Lantak la! Bawang antara kartunis terawal menggunakan nama pena yang pelik sebelum terbitnya majalah UJANG. 

Kini semua tinggal kenangan. Apa nak dikata. Guapun tak nak kata lebih-lebih kerana ia sangat menyedihkan. Banyak kenangan pahit, manis, masam, payau, kelat, tragik, sedih serta mengharukan selama 10 tahun ( 1994 - 2004 ) gua bersama majalah UJANG  Ia jadi satu kenangan terindah dalam hidup dan kerjaya gua sebagai kartunis yang akan gua ceritakan pada anak dan cucu. 

Cover keluaran pertama majalah UJANG – Januari 1994 dengan tagline MAJALAH LAWAK ANTARABANGSA yang bakal menjadi fenomena dan kegilaan peminat majalah humor tanahair. Majalah UJANG muncul dengan idea-idea baru yang gila, sewel dan hebat! Kandungan yang luar biasa dan di luar kepala hotak fikiran, menguja dan yang paling penting ia MENGHIBURKAN! Inilah rahsia kejayaan majalah UJANG selain dari kemunculan kartunis-kartunis baru yang sangat bersemangat dan berbakat. Ramai peminat yang masih bersekolah lagi masa keluaran pertama ini diterbitkan.
Luahan hati dan perasaan kartunis- kartunis kat belakang ( back cover ) majalah UJANG keluaran pertama. Ujang datang pada kami dengan kertas yang telah dia lukis dan conteng.Terus beliau berkata,"sila conteng ikut suka korang kat sini!" Hahaha! Sungguh seronok masa ni.
Cover keluaran nombor tiga, EDISI SUPER GURIH. Apa maksud GURIH. Siapa tahu?  MUSIC MANIA PART 2 dalam keluaran ni. Pioneer of Heavy Metal, Speed Metal, Doom Metal, White Metal, Funk, Reggae dan Blues
Music Mania Part Three of Three dengan kisah muzik Grunge, Hardcore, Rap, Death Metal, Grindcore, Glam Metal dan Thrash Metal! dalam keluaran no 4  ini sebelum bermulanya siri Bersama Selamanya dalam keluaran no.5.

Ini adalah ilustrasi cover pertama majalah UJANG keluaran no 6 yang gua lukis  bersama Ujang. Watak Slash dan Black dihina oleh Din Beramboi! Sayangnya nama gua tak dikredit. ARGHHHHH! Siri Bersama Selamanya Bahagian Dua dalam keluaran ni.

Masa kat majalah UJANG, gua tak banyak  melukis cover. Boleh kira berapa kali saja kerana banyaknya tugasan. Keluaran no 79 ni sekali lagi gua berpeluang untuk melukis cover. Gua mencadangkan kelainan la kononnya pada konsep cover isu ni. Tu yang jadi hitam putih. HEH!  Amar dan Joe sedang KILLKILLKILL! DIEDIEDIEE! dalam Siri Bersama Selamanya keluaran ini.

Iklan koleksi Bersama Selamanya Vol. 1 yang tak berapa laku kat back cover keluaran no.79. Masa ni korang tak nak beli, sekarang baru la tanya, "ada lagi tak, mana nak cari?" HEH! Tak sangka diva penyanyi dangdut masa tu iaitu Mas Idayu tersalah beli koleksi ni. Harharhar! Mr. Steven Spielberg, Bawang dan Mr. Dave Mustaine turut membeli! WOW! Gua terharu…. Robek Hati ku!

Cover terakhir majalah APO? Sehingga keluaran 398, hampir ke 400!
Cover dan keluaran terakhir majalah UJANG nombor 505 yang diterbitkan. Setelah 20 tahun 7 bulan 6 hari, akhirnya majalah UJANG ditamatkan penerbitannya bersama ‘pesaing dalaman’ iaitu majalah APO? yang diterbitkan beberapa tahun setelah majalah UJANG.

 Gua mencari masa untuk pergi menziarah dan melawat sahabat-sahabat kartunis kat MOY setelah menerima berita penutupan majalah UJANG dan APO? sebagai sokongan pada sahabat-sahabat lama yang pernah bersama dahulu.

Beberapa hari setelah berita penutupan operasi dan penerbitan majalah UJANG dan APO?, gua datang sendirian ke pejabat MOY untuk menziarah. Bersama kartunis Lepat, Manggis dan Pengarah penerbitan terakhir APO?, saudara Pandan.

Bersama kartunis Lalang yang badannya keras cam tiang elektrik masa gua peluk dia. HEH! Dah beruban satu kepala pak cik Lalang ni. Manggis, Lepat, Lalang dan Bawang ( dah balik masa gua sampai ) adalah antara kartunis lama dan tua dalam majalah UJANG.

Sebelum balik, sempat lepak minum-minum bersama sahabat lama dan baru kenal dari majalah UJANG dan APO? Yang tersengeh-sengeh paling kiri tu adalah kartunis Lambok yang karyanya sangat diminati dan popular dalam majalah APO?

Yang depan sekali tukang selfie ni adalah kartunis Cendol juga dari APO?. Moga semuanya tabah dan sabar dengan dugaan yang berlaku.
Kejayaan majalah UJANG menjadi satu fenomena dan menyebabkan kerjaya sebagai seorang kartunis begitu popular dan diminati ramai remaja dan belia pada pertengahan tahun 90an dulu. Ramai bakat-bakat baru muncul dan bersaing untuk menjadi kartunis di majalah UJANG atau di majalah humor yang lain. 

Ramai sekali kartunis –kartunis baru muncul dengan pelbagai stroke, cerita dan karakter. Ramai yang berjaya dan menjadi kartunis yang terkenal di BolehLand sepanjang 20 tahun penerbitan majalah UJANG dan APO?
Tak ketinggalan ramai gak yang losers kerana gua rejet tanpa belas karya-karya tong sampah yang mereka hantar ke majalah UJANG. Harharhar!
Harap mereka semua berjaya dengan kerjaya lain setelah gagal menjadi kartunis. Heh!

Besarnya sumbangan majalah UJANG, kartunis dan penerbit, Kharisma Publication hingga ke MOY Publications Sdn.Bnd pada dunia kartun tempatan. Dunia kartun tanahair jadi sangat meriah sepanjang  tahun 90an dahulu seperti meriahnya dunia kartun pada tahun 80an yang dikuasai oleh majalah Gila-Gila.

Terima kasih pada semua karyawan dan penerbit yang pernah menjadi sebuah kuasa besar dan terhebat dalam sejarah penerbitan majalah humor tanahair. Gitu gak terima kasih banyak-banyak pada semua peminat humor tanahair yang menjadi penyokong dan peminat tegar majalah UJANG semenjak diterbitkan.

Besarlah harapan gua moga nanti akan terbit majalah humor baru yang berkonsepkan kartun tulen Malaysia seperti majalah Gila-Gila, Geli Hati, Batu Api, Gelagat atau UJANG yang akan mengembalikan semula kegemilangan majalah humor tanahair. In shaa Allah.

Penutupan majalah UJANG tidak bermakna berkuburnya majalah humor tanahair dan terputusnya perhubungan serta silaturahim antara kartunis dengan peminat. Kita akan tetap BERSAMA SELAMANYA.

TERUSLAH MENYOKONG KARTUN, KOMIK DAN ANIMASI TEMPATAN!

UJANG - 1994 – 2015
sad but true