Thursday, January 17, 2008

GEN X

GEN X – GENERASI X
09 MUHARAM 1429 HIJRAH - 18 JANUARI 2008

Kali terakhir gua diundang/dijemput jadi tetamu untuk program kat radio ialah pada tahun 2005 kat SabahFM, masa Road Tour GEN Y ( majalah G3, KLIK dan JOM ) kat sana. Di awal ahun baru 1429 Hijrah dan 2008 Masehi ni, sekali lagi gua dijemput untuk becakap kat radio. Kali ni kat KLFM 97.2 fm dalam rancangan baru yang dinamakan GEN X – GENERASI X pada 16 Januari 2008 ( Rabu ) hari tu. Dulu kitorang gunakan GEN Y sebagai nama baru department kitorang. Tak kisah la. Kali pertama gua datang ke RTM ni sebagai jemputan dalam rancangan radio ialah pada tahun 1990/1991. Tak ingat tahun mana yang tepat. Masa tu masih nama RMKL lagi kot? Entah la… Terima kasih pada yang mendengar kekejaman suara dan pendapat gua dalam rancangan GEN X ni hari tu. Pada yang tak dengar tu, korang tak rugi apa-apapun dalam hidup ini. Bukan la hebat manapun. Hidup masih bleh ditruskan seperti biasa.... Jalan raya tetap sesak. Pencemaran udara, air, bahasa, kerosakan akhlak/moral dan segala macam lagi tetap berlaku tanpa dapat dihalang!


OLD SKOOL
Patutnye program gua ni pada 09 Januari 2008 yang lalu, tapi gua minta tunda ke 16 Januari 2008 pasal persiapan untuk menyambut Tahun Baru 1428 Hijrah pada 09 Jan dulu tu. Gua pegi ke Angkasapuri dengan ditemani Aguri ( wartawan g3 ). Lain macam tul jalan masuk ke Angkasapuri skang ni. Berubah tul. Tapi bangunan Wisma Radio dan kat dalam bangunan tetap sama seperti kali pertama gua datang dulu. Same old skool! Ni pintu kebal untuk masuk ke konti KLfm. Patutnye gua bleh swep trus untuk masuk dengan kad pelawat yang diberi tu, tapi tak bleh la plak. Terpaksa la djNazira kuar bukakkan. Sori la gambo hancus pasal kelam kabut sangat!


SERABUT
Sampai jer cik djNazira trus bagi soalan-soalan yang akan ditanya dan gua kena jawap. Kena la baca dengan khusyuknye. Eeee… susahnye soalan! Tak ada akal tul! Ni la rupe konti radio skang ya. Ringkas jer. Fully digital. Tak serabut dengan kaset, CD atau piring hitam atas meja, bawah meja, kat rak seperti tahun 1990/1991 kali pertama gua menjadi jemputan di tengah malam dalam satu rancangan kat RMKL/ Radio Tiga Ibu Kota ( ntah la mana satu yang betul… ) dulu. Rasanya masa tu keadaan dalam konti lebih happening. DJ lebih kelam kabut mencari/membongkar timbunan piring hitam untuk mencari piring hitam penyanyi/band yang dikehendaki. Serabut! Tu yang best. Tapi sekarang ni lebih mudah… semua di hujung jari!


ARE U READY
Bebincang apa yang patut dan cane program akan dijalankan. Orait la okey cik DJ, tak de hal punyer! I’m ready to rock n’ roll!


MENYESAL
Soalan pertama… err… aaa... pasal apa ek? Aduuu…. Ni la akibatnye kalo lemah minda. Apa ye? Oo yeah, ingat dah! Gua memang memilih untuk menjadi seorang pelukis sejak dari sekolah bila menyedari akan bakat yang Allah anugerah/pinjamkan pada gua. Gua ingin mengguna dan memenafaatkan sebaiknya! Gua tidak pernah menyesal dengan pilihan yang telah gua ambil, buat dan lakukan sekarang! Soalan lain…


CAKAP PASAL...
GEN X adalah program yang berkaitan dengan dunia komik, superhero, trend warga
kota, band indie, animasi dan yang berkaitan. Gua dijemput untuk bercakap sket pasal kerjaya gua sebagai KARTUNIS. Rancangan ni gak turut menyediakan kuiz yang tersangat la senangnye untuk dijawap oleh pendengar. Cara mudah untuk memancing/menyebabkan/membuatkan/memaksa/
menggalakkan orang mendengar KLfm dan rancangan GEN X ni. Apa stesyen radiopun buat tektik purba cam ni. Majalahpun sama! Biasak la, siapa yang betul jawap dapat hadiah dari penaja dan dari Kumpulan Karangkraf yang berupa majalah G3 serta lakaran kartun dari gua selain dari suaranya disiarkan dalam radio.


KOMPLIN
Ingatkan datang sini nak cakapcakapcakap jer, rupenye kena lukis kartun gak. Dah la kat studio lukis kartun, kat dalam konti KLfmpun kena lukis kartun. Terkomplin plak! Dah kerjaya gua sebagai KARTUNIS, kena lukis la walau di mana. Masa ni djNazirah pasang lagu apa ntah… gua belasah lukis kartun untuk pemenang pertama.


NAH, AMIK KAU!
Masa membebel dan menjawap soalan, siap gak lukisan kartun untuk dua orang pemenang gua buat. Terima kasih pada yang sudi menelefon dan menjawap dengan betul. TAHNIAH!


JANGAN LAA...
ILMU adalah sangat penting untuk kita cari. Untuk menjadi seorang kartunis yang baik dan berkualiti, dia mesti berILMU! Lukis kartun bukan main belasah ikut kepala hotak kita jer! Itu adalah lakaran yang banyak kita tengok kat dinding tandas! Belajar la dengan sabar kerana seorang kartunis mempunyai TANGGUNGJAWAP yang sangat besar pada AGAMA, bangsa, negara dan pada kerjaya sebagai KARTUNIS itu sendiri. Jangan cemarkan kerjaya KARTUNIS dengan karya-karya yang tidak bermanafaat, bermoral, bertanggung jawap dan berILMU wahai semua sahabat kartunis! Jangan buka/bagi ruang pada orang yang tak boleh/tahu melukis berkata '' kalo cam ni, guapun bleh lukis! " kerana karya kita yang tak berILMU! Bedenyut ubun-ubun gua nak menjawap dan menerangkan pada peminat/pembaca atau bakat baru yang bertanya/mempertikaikannya!

Menjawap pertanyaan dari djNazirah pasal hak cipta, harta intelek dan yang berkaitan. Memang bende ni gua tak ambil kisah pada peringkat awal melukis dulu. Janji boleh lukis, kartun diterima, disiarkan dan dapat payment! Itu saja yang difikirkan. Maklumat dan segala yang berkaitan dengan hak cipta ni memang tak tau langsung dan tak ada siapa yang nak bagi tau! Benda ni begitu asing sekali pada gua. Tak tau, jadi tak tau apa yang perlu diketahui dan kat mana maklumat ni boleh diperolehi. ARGHHHH! Sila dapatkan maklumat yang tepat mengenai perkara ini dari pihak yang sepatutnya sekiranya saudara semua berminat nak tau!

DENGARKAN
Cam
biasa, beraksi liar adalah suatu yang menyeronokkan walau di mana. OII! DENGARKAN KLFM RENTAK INTERAKTIF KOTA anda! Ada laporan kesesakan jalanraya yang mencemuihkan semua pengguna jalanraya. Laporan kesesakan jer, mana jalan yang line clear, yang tak sesak tu tak ada laporan aa… heee.. dan bemacam lagi info terkini dan semestinye bermanafaat untuk semua warga kota dalam menjalani kehidupan di kotaraya ni termasuk la seruan azan menandakan masuknya waktu solat!


BLABLABLAA...
Sesi temubual gua tak lama. Tak sampaipun satu jam walapun bermula dari pukul 3 hingga 4 petang. Rancangan GEN X ni bermula dari pukul 2 petang dan berakhir pada pukul 5 petang setiap hari Rabu. Ada beberapa buah lagu sebagai selingan, ada panggilan tipon… mana sampai sejam gua dapat membebel pasal kerjaya, kartun, komik, superhero, blablablaaa…. Tak apa la. Biar kejab, tapi berILMU. HEH! Ni setelah sesesai… beposing dengan djNazirah kat konti KLfm ni.

Terima kasih banyak-banyak diucapkan pada djNazirah dan KLfm atas undangan. Oi, Faizal Mukhtar! Tq gak kat lu pasal bagi nombor contect gua kat djNazirah yang tipon gua pagi-pagi buta lagi beberapa minggu yang lalu ( tahun lepas ) pasal nak undang dalam rancangan ni. Blah la lu! Terima kasih gak pada peminat-peminat kartun tanahair yang tipon dan bertanya melalui email dan SMS KLfm. Moga sihat sejahtera...


* pembetulan of the correction sket

tiba-tiba baru gua teringat... sebenarnya kali terakhir gua becakap dalam radio bukan kat SabahFM tapi kat SURIA FM 105.3MHz pada 04 April 2006 bersamaan 05 Rabiulawal 1427 yang lalu. hari Selasa dari pukul 10.00 hingga 11.00 malam dalam rancangan INSPIRASIku bersama djBOB RINGGO. banging dalam konti bersama djBOB. arghhh!arghhhh!

kena mintak sori ker ni? tak payah la kot. bukan jenayah perang penghapusan etnikpun. okey la.... maaf atas kelemahan gua sebagai manusia ni. ouch!

Tuesday, January 15, 2008

TIADA GAMBAR

TIADA GAMBAR SEINDAH LUKISAN
07 MUHARAM 1429 HIJRAH - 16 JANUARI 2008

Gua memulakan aktiviti dunia di tahun baru 1429 HIJRAH dan 2008 masehi dengan memenuhi jemputan dari Galeri Perfileman FINAS pada 03 Muharam 1429H – 12 Jan 2008, hari Sabtu yang lalu dalam program yang dinamakan TIADA GAMBAR SEINDAH LUKISAN BERSAMA IMUDA. Gua dijemput oleh pihak galeri dalam acara melukis POTRET lima SENIWATI-SENIWATI TANAHAIR. Melukis potret? ARGHH! Gua bukan mahir atau ahli melukis potret. Lukis kartun atau karikatur tu bleh la sikit-sikit. Tapi ini peluang baik untuk gua cuba suatu yang gua boleh kata tak pernah buat sebelum ni. Ada la dulu cuba lukis potret, tapi… ceritapun segan! Selain dari boleh mencuba, ini gak masa yang baik untuk gua bertemu dengan pelukis-pelukis potret profesional yang lain. Masa untuk bekenalan, bertanya, mendapat apapun panduan, tunjuk ajar dan ilmu dari yang ahli/pakar melukis potret. Walaupun tak berapa sihat ( selesema ) gua pegi gak memenuhi jemputan dan untuk belajar... ENJOY!


KAT MANA EK?
Ni kali pertama gua nak pergi ke Galeri Perfileman FINAS ni. Memang huru hara sket. Kat mana ek? Korang penah dengar atau penah pergi ker ke Galeri Perfileman FINAS ni? Apa? Tak penah dengar? Ni baru kali petama dengar adanya Galeri FINAS? Entah la. Kat mana ek. Best ker. Apa yang ada, boleh dating ker kat situ? Tak apa la kalo korang tak tau. Korang pegi jer la ke KLCC, One Utama, Sunway Pyramid atau mana-mana tempat yang korang rasa lebih happening! Sampai jer trus daftar sebagai peserta dalam acara melukis potret. Pihak FINAS namakan pertandingan melukis potret, tapi gua lebih suka kalo tak dinamakan pertandingan. Namakan saja acara MELUKIS POTRET kerana ia akan jadi lebih santai, rileks dan tidak menekan pada peserta-peserta yang mengambil bahagian. Cam gua yang tak ahli melukis potret ni. Tetekan gak bila dinamakan pertandingan. Entah la. Ni la dia rupa sebahagian dari bangunan GALERI PERFILEMAN yang baru dirasmikan pada tahun lepas.


PENGHORMATAN
Kartunis dan pelakun komedi yang tak asing lagi iaitu saudara IMUDA memulakan celoteh beliau sebagai pembuka/pemulaan acara pada pagi itu dengan bebelan beliau yang entah apa-apa ntah! HEH! IMUDA adalah peneraju utama dalam program pertama anjuran pihak Galeri FINAS pada tahun baru ni. Kerana itu program ini dinamakan TIADA GAMBAR SEINDAH LUKISAN BERSAMA IMUDA. Sebagai seorang kartunis, gua merasa bangga kerana beliau yang juga seorang kartunis diberi kepercayaan dan penghormatan oleh pihak Galeri Perfileman FINAS sebagai tonggak/peneraju utama dalam menjayakan program ni. Gua caya lu brader! Gua rasa bebesar hati datang memberi sokongan pada beliau dan program ni! Oii, Budin! Dah la tu oii! Hang jangan buat lecehhhh!


KLASIK
Sebelum mula melukis, setiap peserta diberi kertas lukisan dan sekeping gambar seniwati-seniwati lagenda untuk dipotretkan. Diorang tak pasal-pasal masukkan gua dalam kategori profesional. Ah, sudah! Karut sangat dah ni. Mandai-mandai jer diorang ni. Bila masa la plak gua jadi pelukis potret profesional. Aduuu laa... Memang ada beberapa orang pelukis potret profesional join sama dalam acara ni. Malu gua dimasukkan dalam kategori ni. Ada dua kategori di buat. Satu profesional ( cam gua... ehem! heee... ) dan satu lagi amatur. Yang amatur ni ramai dari pelajar-pelajar Kraftangan Malaysia dan orang awam yang turut dijemput. Gua memilih untuk melukis wajah seniwati LATIFAH OMAR kerana 'kecantikan klasik ' yang dimiliki. Setiap peserta telah diberi sekotak SOFT PASTEL untuk melukis potret bersama dengan beberapa cenderahati dalam sebuah goodies masa mendaftar tadi. PASTLE? ARGHHH! Gua memang tak biasa menggunakan pastle ni. Profesional apa cane ni? Pastelpun tak penah guna/pakai! Aduuu la! Aduuu la… cane ni? Ahh! Belasah jer la! Pasal tu la gua tak setuju tul diorang ' profesionalkan ' gua dan PERTANDINGAN acara ni! Uuuu… uuuuu…


HILANG
Ini la sekotak pastle , sehelai kertas dan gambo seniwati Latifah Omar untuk dipotretkan. Gua dah mula bepeluh masa ni. Aduu laa... Keyakinan hilang ke mana ntah bersama tiupan bayu yang berhembus. Tapi keinginan nak mencuba sangat kuat! Jangan ingat gua seorang kartunis terer semua perkara berkaitan lukisan ni. Kalo nak terer kena belajar. Kena buat rajin buat latihan. Gua memang tak pernah belajar seni, teknik, displin dan segala yang berkaitan dengan melukis potret. Ini benar-benar pengalaman pertama . Sungguh ajaib, belum apa-apa dah jadi ' profesional '. HEH! Gelaran itu membuatkan peluh kuar mencurah-curah dengan lajunya....

I'M NOT ALONE!
Bersedia untuk melukis. Persetan dengan perasan itu... Nak nakot apa? Kali pertama gua mengoreskan pastle yang begitu lembut tu, gua dah tau akan masalah yang akan gua hadapi. Oh! Oh! I’m in trouble! But NOOO turning back! Tapi cam yang gua kata tadi, ini peluang baik untuk gua mencuba. Jadi atau tak bukan penting sangat. Yang penting adalah pengalaman. Masa ni saudara/kartunis Tazidi pun baru sampai. Beliau terang-terang kata tak terer gunakan pastle dan lukis potret! YEAHOOOO! Ada la kawan. HEH!


HANCUS!
Gua tenangkan hati dan perasaan dan trus melakar mengikut rasa hati! ZASS! ZASSS! Gua belasah pastle tu. Jemputan yang lebih ramai jadi pemerhati nampak cam terer/pro jer... padahal itu adalah stroke paling hancur penah gua buat! ARGHHH! Gua reject tanpa belas kesian lakaran pertama ni! Tak puas hati tul. Hancus! Gua tak percaya apa yang gua buat. Buat yang lain. Baru gua tau dan rasa akan perbezaan, kesusahan, cabaran dan kepayahan melukis potret menggunakan pastle! Dah cuba try test baru tau. Memang mencabar tapi gua mula rasa seronok. Biar la tak jadi potret yang gua buat ni asalkan gua dapat ‘ sesuatu ‘ ilmu darinya. Gua ingatkan gua yang paling teruk, rupanya saudara Tazidi lagi hancur dari gua. Harharhar! Beliau lagi hilang akal menggunakan pastle. Dua tiga helai lakaran beliau reject. Mula-mula beliau cuba lukis potret seniwati Umi Kalthum, tak jadi! Beliau tukar lukis potret seniwati Sarimah plak. Sama gak, tak jadi! Harfraginhar! Kitorang kartunis, dah biasa melakar laju dan mengubah ikut suka sesuatu gambaran. Tapi kali ni kena plak lukis potret, sesuatu yang memerlukan ketelitian, penumpuan dan perhatian penuh… memang huru hara dibuatnye! Hey! Melukis kartun juga memerlukan ketelitian, penumpuan, kesungguhan dan perhatian! Jangan ingat bleh main belasah jer aa!

BAWAK SENDIRI
Saudara Tazidi give up tak nak melukis lagi. Lagipun beliau ada urusan yang lain. Saja luangkan masa singgah jab sebagai sokongan pada kawan lama. Beliau blah lebih awal. Jumpe lagi. Gua bepeluh-peluh meneruskan usaha gigih gua melukis potret seniwati Latifah Omar dengan sedayanya! Ketahuilah wahai sahabat semua. Bukan mudah melukis potret ni ya. Jadi kalo sahabat semua ingin menempah potret dari pelukis potret yang baik, cantik, sama seperti gambo yang diberi, berkualiti, yang memahami anatomi dan semestinya professional, pastikan sahabat semua sanggup membayar dengan harganya tanpa merungut atau bekerut dahi. Mereka memberikan perkhidmatan melalui bakat yang perlu dibayar upah! Mereka adalah profesional, sahabat memerlukan perkhidmatan dan hasil yang berkualiti dari mereka, jadi jangan banyak songeh!

Makin lama membelasah pastle, gua mula faham sket akan ragam pastle yang tersangat la lembutnya ni. Kesesuaian peralatan masa melukis sangat la penting untuk hasil yang baik seperti kertas yang sesuai. Kertas yang disediakan/digunakan sangat la tak sesuai menggunaan pastle. Alasan yang tersangat la baik kenapa potret gua tak jadi HEH! Betul! Dalam apa-apa lukisan yang hendak dihasilkan, peralatan yang sesuai adalah sangat penting walaupun kita biasa dengar kata-kata ni “ orang yang mahir/terer tak kisah peralatan apapun… mesti jadi punyer! “. Betul, tapi mungkin kurang berkualiti dan tidak mengikut/memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Lebih baik kita menyediakan peralatan yang cukup dan sesuai. Gua datang tanpa apa-apa persiapan dan membawa peralatan melukis sendiri seperti yang dilakukan oleh dua orang sahabat pelukis potret kat Central Market yang turut sama melukis dalam program ni. Diorang bawak peralatan sendiri. Persiapan dan peralatan sendiri lebih membantu dalam menghasilkan potret yang cantik dan berkualiti! Ilmu yang gua pelajari. Ni peringkat terakhir, membuat background. Best la plak buat background dengan pastle lembut ni.


AKHIRNYA...
Akhirnye setelah behempas pulas memprofesionalkan diri dan kehilangan banyak bendair dalam badan dari peluh yang tak berhenti menitik kuar… siap gak potret seniwati Latifah Omar versi gua. Tak sama, tak serupa, entah apa-apa ntah? Lantak la! Korang nak kutuk, keji, hina, bidas, kritik, cemuh atau kata apapun tak apa. Ini bukanlah hasil yang mengecewakan dalam masa satu jam setengah apatah lagi untuk gua merasa malu kerana seperti yang gua kata awal-awal tadi, gua bukan ahli dalam bidang ini dan cane pun hasilnya bukan la menjadi keutamaan. Ini adalah kali pertama gua menggunakan pastle sepenuhnya dalam menghasilkan sesebuah potret. Memang banyak sangat la kelemahan, kesilapan, kekurangan dan kesalahan yang gua buat. Jangan tempah lukis potret dari gua aa… Gua kena belajar teknik yang betul, peralatan yang lebih sesuai, belajar anatomi, buat sedikit latihan… insyAllah, tidak ada yang mustahil untuk gua lakukan!


MEMPERSEMBAHKAN...
Dah siap potret gua, masa untuk melawat dan melihat apa yang ada dalam Galeri Perfileman FINAS ni. Semua sejarah berkaitan dengan pekembangan industri perfileman tanahair sebelum dan selepas merdeka ada tercatat dan dipamerkan kat sini untuk dilihat dan diketahuai seperti tiga syarikat/penerbit gergasi yang menjadi tunjang utama penerbitan dan pekembangan filem-filem tanahair kita dulu. Korang boleh baca dan ketahui sejarahnya di sini. Leceh la nak cerita. Datang sendiri la!


YEA BEDA BEDUUUU!
Jalan punyer jalan punyer jalan…tetiba gua ternampak wajah tampan beliau. Tanpa belingah gua paksa sorang pelawat kat situ amik gambo gua dengan seniman A.R. TOMPEL. Ada satu adegan lakunan beliau yang gua suke tak ingat dalam filem ‘ Keluarga 69 ‘ iaitu masa beliau duduk kat kerusi ( singgah kat rumah awek masa pegi memburu yang atuk awek tu pekak badak tak ingat ) dan berkata YEABEDA BEDU hingga tebalik ke belakang pasal seronok sangat! Lawak siot! Harfraginhar! Ada banyak lagi gambar-gambar klasik pelakun-pelakun di zaman kegemilangan Studio Jalan Ampas kat sini yang boleh dilihat dan dinikmati untuk mengembalikan kenangan lama. Sila la datang ke Galeri Perfileman FINAS yang tak diketahui di mana tempatnye ni ya. HEH!


AMIK GAMBO
Hari tu gua singgah kat blog sorang kawan dan tengok beliau begitu belagak sekali begambo dengan standee JEFRI ZAIN yang beliau amik kat Galeri Perfileman FINAS ni. Ooo.. kat sini rupenye lu begambo ya Roy. Nah sebagai balas dendam kesumat tujuh petala langit, gua begambo dengan standee JEFRI ZAIN plak. Korangpun bleh datang ke sini kalo nak amik gambo kat standee ni. Memang standee ni dibuat untuk korang amik gambo dengan beliau. Sama gak cam korang amik gambo kat tugu, tunggul kayu/pokok, batu, meriam dan segala macam lagi tu. Memang bende-bende tu dibuat untuk korang amik gambo!


MAMPUS TAK PERGI!
Tak cukup dengan tu, siap lentok lagi kat heroin filem ni ya. Jangan mare aa Roy. HEH! Ada banyak tempat kat sini yang mengkhususkan bahagian-bahagian tertentu dalam bidang perfileman ni seperti Pusat Sumber. Pada student yang buat tesis/assignment pasal filem tanahair bleh dapatkan maklumat kat sini walaupun semata-mata nak dapat markah yang lebih baik dan bleh lulus exam. Bukan kerana minat atau tujuan lain. Kalo bukan kerana assignment, mampus tak ada sebab nak datang! Semua maklumat yang dikehendaki tu ada kat sini. Cari la sendri jalan cane nak pegi ke Galeri Perfileman FINAS ni ya. Ada dua tingkat galeri ni. Gua hanya sempat melawat tingkat bawah jer. Tak sempat nak melawat ke atas. Sebenarnya gua tak perasanpun ada lagi kat atas. Heheee..


U CAN DO IT OR CAN U DO IT?
Ni la dia lima lukisan potret seniwati-seniwati vetran yang dilukis oleh saudara Imuda menggunakan arkilik yang akan dibuat simbolik penyerahannya oleh kelima-lima seniwati kepada pihak Galeri Perfileman FINAS. Kiri sekali adalah potret seniwati Umi Kalthum, seniwati Rosnani Jamil, seniwati Sarimah, seniwati Maria Menado dan seniwati Latifah Omar yang terkenal dengan tahi lalatnya itu. Melihat hasil kerja saudara Imuda, gua berkata pada diri gua sendri ‘’ Hey, Gayour! Kalo lukis potret cam ni ( menggunakan arkilik ) insyAllah, guapun bleh buat ‘’. Mudah jer bunyinye. Tapi sebenarnya tak semudah yang dilihat dan disangka kerana ( lagi sekali ) gua bukan ahli/mahir dalam bidang ini. Tapi gua rasa gua bleh buat kerana itu adalah gerak hati gua . Heee… konon!


KEJAM
Yang ni gua bersama potret seniwati Sarimah di zaman kegemilangannya. Teringat dialog kejam seniwati Sarimah dalam filem ‘’ Madu Tiga ’’ masa kat jembatan tu…( lebih kurang ) ‘’ malam ni abang Jamil kat rumah kak Pah, besok rumah kak Hasnah, lepas tu rumah Ani… begitu la seterusnya sampailah abang Jamil mampus! “


JEFRI ZAIN
Semua seniwati-seniwati yang diraikan pada hari ini datang lebih kurang dalam pukul 11.30 pagi termasuk Pengerusi FINAS iaitu YB Senator Tan Sri Datuk ( Dr. ) Jins Shamsudin yang berucap merasmikan majlis. Hari tu ( tahun lepas ) gua dah jumpa dan begambo dengan Jefri Zain ni. Tepak kelihatan segak dan sihat.


Majlis penyerahan potret hitam putih kepada seniwati Datuk Sarimah dari Imuda. Kendian potret tu diserahkan oleh seniwati Datuk Sarimah kepada pengerusi FINAS YB Senator bagi pihak Galeri Perfileman FINAS untuk dipamerkan kat galeri.


Yang ni plak penyerahan potret seniwati Maria Menado oleh Datuk Maria Menado sendiri kepada YB Senator. Potret ni gak dilukis hitam putih oleh Imuda. Tak tau kenapa. Mungkin kerana nak jimat warna, nak cepat siap, tak ada gambo rujukan dalam warna atau memang nak buat hitam putih. Entah la.


Sama gak la dengan yang ni. Potret ketiga dalam versi hitam putih. YB Senator menerima potret seniwati Umi Kalthum yang dilukis oleh Imuda yang diserahkan secara by hand oleh Datin Umi Kalthum sendiri.


Seniwati Datin Rosnani Jamil menyerahkan potret di zaman remaja beliau yang tesengeh seronok tak ingat ni kepada YB Senator sebagai koleksi Galeri Perfileman FINAS untuk tatapan pengunjung yang jumpe jalan dan selamat sampai ke Galeri Perfileman FINAS.


Gua ingatkan seniwati Latifah Omar yang gua bersusah payah hingga menitik-nitik peluh melukis potret beliau turut hadir sama dalam majlis ini. Rupanya beliau tidak dapat hadir dan beliau diwakilkan oleh anak gadis beliau yang juga bertahi lalat. Seniwati Latifah Omar bertahi lalat di bawah bibir belah kiri, manakala anak gadis beliau pula bertahi lalat kat pipi belah kiri. Tengok tu. Beliau mewakili ibu beliau mengambil dan menyerahkan potret ibu beliau kepada YB Senator untuk dinikmati oleh pengunjung yang tak sesat dan tahu ke Galeri Perfileman FINAS.


LIAR
Lagi sekali kesempatan yang ada masa semua seniwati sibuk begambar dan menandatangani buku JEJAK TERBILANG, gua begambar sambil berkasi liar dengan saudara Imuda. Beliau yang mempengaruhi gua buat aksi cam ni. Gua plak memang mudah tepengaruh dengan aksi-aksi liar cam ni! Ni hang punye pasai la ni Budin!


ANTAGONIS
Seniwati-seniwati vetran bersama hero Jefri Zain yang pernah memeriahkan dan menjadikan industri filem tanahiar mencapai zaman kemuncak dan kegemilangannya suatu masa dulu bersama Tan Sri P. Ramlee, Dato’ Aziz Satar, S. Shamsudin, Ahmad Nisfu, A.R. Tompel, M. Zain dan ramai lagi seniwati dan seniman handalan termasuk supercrook hebat sepanjang zaman iaitu Salleh Kamil!


HEBAT
Sempat begambo dengan seniwati Datin Umi Kalthum. Dah tahap nenek dah ni. Kebanyakkan watak/karakter yang beliau pegang/bawa dalam filem-filem klasik dulu menjadi kebencian penonton dan peminat. Itulah kelebihan dan kehebatan beliau menghayati dan membawa watak. Tapi tetap tidak dapat menandingi ‘ kejahatan ‘ seniman Saleh Kamil! Masing-masing ada kelebihan tersendiri.


DIMENANGI OLEH...
Dah habis acara bersama seniwati-seniwati tu, tiba la plak masa pengumuman siapa yang best melukis potret tadi dan dapat hadiah yang disediakan oleh pihak galeri. Hee… gua betul-betul tak sangka dipilih sebagai pemenang KETIGA ( sekali lagi gua ingatkan… pada gua ini bukan pertandingan! ) kerana gua rasa kalau ramai pelukis potret yang lebih baik dan benar-benar profesional turut serta, gua TIDAK berpeluang untuk dapat tempat ke sepuluh atau dua puluh dengan potret yang gua hasilkan! Hey! Gua bukan pro dalam bidang ni aa... Gua memang tak mahir melukis potret dan menggunakan pastel. Ini hanya mencuba dan mencari pengalaman, tak memangpun tak apa. Tapi tak ku sangka, tak ku duga… inilah kuasa Allah. Syukur Alhamdulillah. Bestnye dapat hadiah! Weeee...


JADI PROFESIONAL
Inilah dia the real champ! Saudara Baim, seorang pelukis potret profesional yang merupakan pelukis potret sepenuh masa kat Central Market. Lihatlah potret seniwati Latifah Omar hasil kerja beliau tu. Tu belum siap sepenuhnya lagi tu. Beliau membawa peralatan sendiri ( kertas jenis sugar paper, pastlel dan beberapa peralatan yang lain ) dan hanya menggunakan sedikit saja pastle yang disediakan pihak galeri. Inilah yang gua kata tadi, kesesuaian peralatan adalah sangat penting untuk menghasilkan karya yang baik dan bermutu! Beliau membuat persiapan dan menggunkan peralatan sendiri sebagai pelukis potret profesional. Beliau profesional dan jadi profesional dengan apa yang dibuat. Tu la pasal potret beliau dipilih sebagai yang terbaik. Tak cam gua yang main redah jer! TAHNIAH bro!


EEE... MALUNYE!
Tiga orang pelukis potret ( dua darinya adalah pro, sorang tu adalah kartunis yang entah apa-apa ntah! ) yang berjaya melukis potret seniwati-seniwati menurut pandangan dan keputusan dari panel juri yang diketuai oleh saudara Jaafar Taib dengan hadiah yang diterima. Belah kiri tu ialah saudara Jack Tenggiling yang mendapat tempat kedua. Beliau gak seorang karikaturis selain pelukis potret bersama saudara Baim kat Central Market. Gua merasa malu bila dipilih di tempat ketiga kerana merasa tak layak langsung. Tapi rasa seronok kerana kali pertama menggunakan pastle melukis potret dah bejaya menarik perhatian juri. Not bad huh! HEH!


ILMU
Maqan tengahari time! Masa maqan ni la gua besembang dengan saudara Baim mengenai yang berkaitan dengan potret. Beliau begitu senang hati memberi mana yang perlu mengenai ilmu melukis potret. Terima kasih. Walau sedikit, ia tetap ILMU. Hah... tambah laie Jack! Ekau buek buek malu plak! Tambah! Tambah!


Kat depan pintu masuk ke dalam bangunan Galeri Perfileman FINAS sekiranya korang jumpa tempat ni dan nak melangkah masuk ke dalam.


SELAMAT DATANG - WELCOME
Korang melangkah masuk jer, korang akan trus jumpe dengan kaunter menyambut tetamu dan pertanyaan ni. Ada beberapa cenderamata dijual kat sini sebagai kenang-kenangan pada pengunjung yang datang. Ia dibuat/dihias seperti memasuki pawagam/panggung wayang zaman kegemilangan industri filem klasik dulu.


TUA
Masa merayau- rayau dalam galeri sebelum balik, gua tersempak dengan seniwati Datuk Maria Menado. “ Boleh begambo Datuk?” Tanya gua pada beliau. “ Boleh apa salahnya “ jawab beliau lembut. “ Ni nak ke begambar dengan orang tua ni? “ sambung seniwati Datuk Maria Menado ( memang beliau dah melebihi tahap nenek kalo nak ikutkan ). “ Nanti kalau saya panjang umur, sayapun akan merasa tua gak Datuk “ balas gua. Beliau senyum dan klik! Gambo dirakam oleh seorang petugas galeri yang seperti biasa gua paksa! Terima kasih Datuk.


TEGAR
Memang dari mula tau yang saudara Jaafar Taib akan datang sebagai panel hakim, gua dah pasang niat nak begambar dengan beliau. Untuk makluman semua sahabat, inilah saudara Jaafar Taib pelukis serba boleh tanahair. Beliau merupakan seorang kartunis ( pengasas majalah humor Gila-Gila ), pelukis potret, illustrator, pelukis pemandangan yang hebat dan paling tekenal dengan karya siri burungnya. Tak kisah la kalau sahabat semua tak pernah dengar nama beliau atau mengenali beliau kerana itu tidak menjejaskan kesihatan apatah lagi menambahkan selera makan saudara semua. Beliau pernah jadi boss gua masa gua bekerja kat Creative Enterprise iaitu majalah Gila-Gila sebagai kartunis pada tahun 1993 dulu. Hingga ke hari ini beliau masih tegar melukis seperti Allahyarham Rejabhad yang melukis hingga ke akhir hayat. Begitu juga dengan beberapa lagi kartunis old skool seperti Tuan Haji Zainal Buang Hussein yang masih tegar melukis hingga ke hari ini walau ramai gak yang telah bersara. Selagi daya, gua gak akan trus melukis seperti semangat mereka yang tidak pernah padam biar tiada siapa yang kenal dan minat lagi! Moga tuan-tuan semua trus diberi kesihatan yang baik oleh Allah, ilham, semangat dan keimanan untuk trus berkarya. Sebelum balik gua menemui saudara Imuda dan mengucapkan tahniah atas program yang diterajuinya sebagai seorang kartunis/pelakun anjuran Galeri Perfileman FINAS yang terletak kat

NO:3, JALAN PAHANG KECHIL
OFF JALAN PAHANG
53000 KUALA LUMPUR

Leceh la korang ni. Semua nak kena bagi tau! Sekiranya berkesempatan, minat, hilang arah tujuan tak tau nak kemana lagi kat Key Ell ni, rajin mencari, ada kemudahan/kenderaan, ada duit nak isi minyak kereta/motor, minat pada pelakun dan filem-filem klasik Melayu atau tak tau nak dating kat mana, boleh la dating kat Galeri Perfileman FINAS untuk melihat apa yang dipamerkan termasuk potret-potret seniwati yang dilukis oleh saudara Imuda.


Monday, January 14, 2008

MAAL HIJRAH 1429

SAMBUTAN MAAL HIJRAH 1429
30 ZULHIJJAH 1428 HIJRAH - 09 JANUARI 2008

Gua ambik cuti pada hari Rabu ( 09 Jan 08 ) pasal nak tolong masak dan persiapan untuk sambutan TAHUN BARU HIJRAH yang akan diadakan sambutannya kat surau Nurul Islah bermula petang hingga ke malam. Kali ni gua benar-benar dapat membantu encik chef tukang masak dari mula membasuh daging kambing ( yeah! tige ekor kambing boer brader. heh! ) hingga memasukkan segala rempah ratus dan mengacau untuk memasak daging kambing tu. Sungguh seronok walaupun hanya menjadi pembantu memasak untuk hidangan makan malam pada qariah dan jemputan pada malam ni. Best masak-masak ni rupenye. Patut la budak-budak suke sangat main masak-masak. Tak kira la lelaki atau pompuan. Ganas cam no pun, mesti main masak-masak gak. Heran dan ajaib sungguh! Main masak-masak menjadi kewajipan dalam banyak-banyak aktiviti permainan termasuk la dengan gua masa budak-budak dulu… Salah satu tarikan magnet yang sangat kuat menyebabkan gua sanggup main sama ialah kerana adanya budak-budak pompuan. Suweeeettttt!

TAMBAH LAGI!
Acara bermula seawal pulul 6.30 petang. Semua AJK sambutan digalakkan sangat memakai Baju Melayu termasuk la dengan gua. Cantik segak bergaya dengan baju Melayu merah hati dengan samping dan songkok. HEH! Apa salahnye kita becantik-cantik menyambut dan meraikan kedatangan salah satu dari peristiwa besar dalam kalendar Islam. Bukankah peristiwa hijrah merupakan satu peristiwa besar dan bersejarah yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W. dalam pekembangan agama Islam? Acara dimulakan dengan tahlil, doa dan bacaan doa akhir tahun. Selepas solat Maghrib diikuti dengan doa awal tahun untuk keberkatan disepanjang tahun 1429 hijrah. Untuk mengelakkan kanak-kanak menganas dan buat bising semasa berlangsungnya acara seterusnya, kanak-kanak lelaki diberi makan dalam dulang dulu. Masa ni hujan renyai-renyai malam TAHUN BARU HIJRAH mula turun. Kanak-kanak makan dengan beselera sekali lauk daging kambing. Lauk ayam masak kicap yang diberi sama dalam dulang tidak diherankan langsung! Semua minta tambah nasi dan lauk daging kambing. Beselera tul diorang ni makan dalam dulang tanpa begaduh atau komplin. Inilah kelebihan sunnah Rasulullah S.A.W. Tak ada yang membazir. Habih licin diorang belasah!

EEE... GELI LA!
Sejak bila makan dalam dulang ni dimulakan kat surau gua, gua memang lemah minda tak ingat. Rasa dalam setahun dua ni amalan ni dimulakan. Selain dari bejimat ( jimat duit surau, jimat air, sabun dan masa nak basuh pinggan atau beli pinggan polystren ) ia juga cepat, senang nak hidang dan layan. Yang lebih penting, kemesraan dan keberkatan yang ada padanya. Sungguh seronok makan empat
lima orang sedulang ni. Bleh cabar mencabar! HEH! Biasenye makan dalam dulang ni hanya disediakan untuk jemaah kanak-kanak lelaki/perempuan dan lelaki dewasa saja. Muslimat dewasa plak makan cara buffet dalam pinggan memasing. Biase la orang pompuan bukannye nak makan dalam dulang ni share tiga empat orang walaupun dengan member kamceng diorang. Eee…geli la, jijik la, tak selesa la, itu la, ini la… macam-macam alasan lagi la. Kalo makanpun tak habis. Geli punyer pasal! Membazir tul! Kitorang muslimin tak kisah, tak kira, tak bekira dan tak menghina sesame jemaah untuk makan sedulang. Siapapun bleh duduk bersila makan sedulang sambil begossip liar. HEH! Yang penting keberkatan yang diperolehi. Mungkin sobat semua dah lama mengamalkan sunnah ni. Bagus la.

SIAPA NAK?
Gua adalah salah seorang petugas dalam sambutan TAHUN BARU HIJRAH ni, tak dapat la nak join duduk sama dalam majlis kat dalam surau. Tetamu khas dan pemimpin utama dalam sambutan ini adalah Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki yang sampai sebelum Maghrib bersama satu bas murid-murid beliau dari Yayasan Sofa, Negeri Sembilan Darul Khusus yang membacakan doa, bacaan Maulid Daiba’i, berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W. dan syarahan peristiwa hijrah yang dilalui Rasulullah S.A.W. yang telah puluhan/ratusan kali kita dengar tapi tidak jemu untuk didengar sebagai peringatan. Cam yang gua kata, gua tak dapat duduk sama mendengar syarahan, peringatan dan nasihat dari Tuan Guru kerana tugasan yang lain. Gua hanya mendengar semasa sibuk melayan kanak-kanak makan, angkat itu dan ini. Tak berapa jelas, jadi tak dapat nak kongsi apa yang disampaikan oleh Tuan Guru dengan sobat semua. Selepas solat Isya’ semua jamaah dihidangkan dengan nasi briani dengan lauk daging kambing ( yang gua tolong masak siang tadi.. heee… ) dengan beberapa lauk yang lain. Masa sibuk menambah itu dan ini, gua tedengar sorang jamaah yang telah menyeduk nasi dan lauk daging kambing dalam pinggan beliau berkata ( sepatutnye semua muslimin makan dalam dulang, tapi kerana hujan, tak bleh nak bentang tikar duduk makan bersila pasal basah, trus ditukar menggunakan pinggan ) “ Alamak, kambing ker? Jangan buat pasal, aku tak boleh makan kambing…. Sapa nak kambing aku?”

SEDERHANA
Sambutan TAHUN BARU 1429 HIJRAH kat Surau Nurul Islah kali ni berlangsung sederhana tapi ramai qariah yang dekat dan jauh datang meraikan bersama. Tak ada membazir duit dengan letupan bunga api, countdown menjelang 12 malam atau konset hingga ke pagi! Yang ada hanya bacaan tahlil, doa akhir tahun, solat Maghrib berjemaah, doa awal tahun, selawat, syarahan Maal Hijrah dan solat Isya' berjemaah. Acara berakhir dalam pukul 10.30 malam. Tahun baru menjelang tiba, umur makin betambah....

Tuesday, January 08, 2008

MAAL HIJRAH 1429

SELAMAT MENYAMBUT
MA'AL HIJRAH 1429

Pada semua sahabat yang dikasihi, gua mengucapkan SELAMAT TAHUN BARU 1429 HIJRAH. Moga Allah mengurniakan kita kesihatan yang baik untuk beramal, betambah rezeki, dipertingkatkan IMAN, berbahagia dan berjaya didunia akhirat.

Moga tahun baru hijrah ini juga membawa kebaikan, keberkatan pada kita, keluarga kita dan semua umat Islam di seluruh dunia. Moga umat Islam dan negara Islam akan lebih berjaya! InsyAllah.

MUHARAM adalah BULAN PERTAMA dalam tahun/kalendar Islam ( Hijrah ). Sebelum Rasulullah S.A.W. berhijrah dari Makkah ke Yathrib ( Madinah ) , kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah S.A.W. memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah S.A.W. , ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri.

Pada asasnya, Muharam membawa maksud ' DIHARAMKAN ' atau ' DIPANTANG ', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.

Doa akhir tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah.

Sesiapa yang membaca doa ini, syaitan berkata:
"Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun."

PERISTIWA-PERISTIWA PENTING DALAM BULAN MUHARAM

  • 1 Muharam - Khalifah Umar Al-Khattab mula membuat penetapan kiraan bulan dalam Hijrah.
  • 10 Muharam - Dinamakan juga hari 'Asyura'. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.

Pada 10 Muharam juga telah berlaku:

Nabi Adam bertaubat kepada Allah.
Nabi Idris diangkat oleh Allah ke langit.
Nabi Nuh diselamatkan Allah keluar dari perahunya sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.
Nabi Ibrahim diselamatkan Allah dari pembakaran Raja Namrud.
Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.
Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.
Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkkan Allah.
Nabi Ayub dipulihkan Allah dari penyakit kulit yang dideritainya.
Nabi Yunus selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.
Kesalahan Nabi Daud diampuni Allah.
Nabi Sulaiman dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
Hari pertama Allah menciptakan alam.
Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
Hari pertama Allah menurunkan hujan.
Allah menjadikan 'Arasy.
Allah menjadikan Luh Mahfuz.
Allah menjadikan alam.
Allah menjadikan Malaikat Jibril.
Nabi Isa diangkat ke langit.